Khamis, 19 April 2012

WARKAH KEPADA GENERASI

Anak kecil main api
terbakar hatinya yang sepi
air mata darah bercampur keringat
bumi dipijak milik orang...........

Generasiku tercinta
kalian adalah kelompok bertuah
yang sempat berteduh di langit alaf baru
dengan keberanian sebagai bangsa bermaruah
ditanah merdeka milik abadi kita.

Generasiku yang bijak bestari
ini bumi suci perjuangan nenek moyang
yang bersumpah setia memartabatkan bangsa
mendaulatkan tanah air, mencipta kebebasan
membina istana merdeka yang kalian diami.

Ingin ku ingatkan, jangan biarkan akar sejarah
tercabut dari bumi bertuah ini.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

SEJARAH BAJU KURUNG TELUK BELANGA

Baju Melayu Teluk Belanga atau Baju Kurung Johor mula diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar tatkala Almarhum bersemanyam di Teluk Belanga Singapura. Almarhum menetapkan supaya baju lelaki labuhnya sehingga kebawah punggung dengan leher yang berlapik lebar dan berkocek dua manakala baju perempuan pula labuhnya hingga bawah lutut dengan alas lehernya halus dan tidak berkocek.


Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim pakaian tersebut telah diubah mengikut cadangan Allahyarham Dato'Jaafar bin Haji Muhamad, Menteri Besar,kocek pada baju lelaki ditambah menjadi tiga dan alas lehernya halus seperti baju perempuan dan diadakan satu kocek pada baju perempuan.


Seluar yang dipakai disebut 'seluar kabul' yang bertongkah atau bertakak seperti seluar Cina dan kakinya lebih luas dari seluar yang dipakai dengan pakaian barat. Pada masa itu terdapat beberapa jenis seluar yang dipakai oleh orang lelaki iaitu seluar kabul, seluar cina, seluar sampak ( paras peha ), seluar katok ( paras lutut ), seluar Acheh ( paras betis ) dan seluar panjang iaitu seluar pakaian orang barat. Bagi menseragamkan pakaian, seluar Cina telah ditetapkan yang mana ianya bertongkah atau bertakak iaitu terdapat sambungan kain dibahagian atas seluar bagi membolehkannya diikat tanpa menggunakan tali pinggang.


Pakaian tersebut dilengkapkan dengan kain yang dipakai secara dagang dalam samada dari kain pelikat, kain Bugis, kain mastuli atau kain sutera. Kepala kain diletak dibelakang dan kain dipakai selabuh paras lutut atau kebawah lutut. Kain dagang luar hanya dipakai oleh anak-anak Raja dan Tuan Sayed.


Almarhum Sultan Abu Bakar juga menetapkan supaya songkok dipakai bersama Pakaian Melayu. Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim, Dato' Jaafar bin Haji Muhamad menetapkan supaya songkok dijadikan pakaian Melayu Johor.


Sepatu seperti yang dipakai dengan pakaian barat atau selipar yang bertekat dengan manik atau kelingan atau benang sutera dipakai bersama pakaian Melayu.


UNGKAPAN BESTARI

Bangsa yang memperkosa hak bangsa lain atau orang yang memperbudakkan sesama manusia telah melakukan kesalahan. Tetapi kesalahan tidak boleh ditimpakan kepada si gagah sahaja. Yang dijajah dan diperkosa atau diperbudak turut bersalah. Mengapa mahu dijajah???Orang lain tidak dapat menolong kalau yang dijajah telah menggalangkan batang leher sendiri untuk disembelih. ( Rujukan Hamka )


Adil ialah yang menimbang yang sama berat, menyalahkan yang salah dan membenarkan yang benar, mengembalikan hak yang empunya dan jangan berlaku zalim di atasnya. ( Rujukan Hamka )

Selagi kita bernyawa, kita mestilah bekerja menabur bakti untuk bangsa dan negara. Itulah hiasa yang sebenar. ( Rujukan Ibu Zain )

Rabu, 18 April 2012

SISTEM RAJA BERPERLEMBAGAAN

Institusi Raja Berperlembagaan merupakan institusi tertinggi dalam Perlembagaan Malaysia. Pemerintahan Raja Berperlembagaan yang disuburi dengan amalan Demokrasi Berpalimen di negara ini mempunyai keistimewaan tersendiri dan menjadi lambang kedaulatan, perpaduan, kebesaran dan kemuliaan negara.


Kedudukan Raja Berperlembagaan dalam sistem pemerintahan di negara ini amat penting dimana institusi Yang DiPertuan Agong menduduki tangga teratas hierarki kuasa pemerintahan Persekutuan Malaysia dan mempunyai kedudukan istimewa seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Raja Berperlembagaan adalah sistem beraja mengikut peraturan-peraturan yang digariskan dalam Perlembagaan Malaysia.


Sistem ini mula berfungsi dengan peristiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan diteruskan apabila gagasan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Sistem Raja Berperlembagaan ini telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dengan mewujudkan institusi Yang DiPertuan Agong, mengekalkan sitem Raja di negeri dan menubuhkan Majlis Raja-Raja.


Baginda juga lambang kekuasaan dalam pemerintahan negara, kebesaran dan kemuliaan negara dan payung pelindung kepada keseluruhan rakyat.


Sistem kerajaan Raja Berperlembagaan adalah satu kesinambungan kepada semangat berkerajaan dan bernegara yang telah sedia bertapak di negara ini dan sebahagian daripada budaya warisan serta lambang sebuah negara yang bebas merdeka.


Sistem Raja Berperlembagaan telah membentuk salah sebuah tonggak utama kestabilan serta keteguhan negara dan mengukuhkan perpaduan negara yang terdiri daripada berbilang kaum, bangsa, agama serta adat resam dan dapat mengekalkan keamanan serta kemakmuran negara.

MENGENANG SEJARAH KEMERDEKAAN

"Sesungguhnya Tiada Kemerdekaan Tanpa Pengorbanan"

Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan secara mutlak pada 31 Ogos 1957. Walaupun kemerdekaan Tanah Melayu tidak dicapai menerusi pertumpahan darah seperti mana negara-negara Asia yang lain namun jerit-perit dan pengorbanan yang diberikan oleh rakyat pada masa itu amatlah besar.

Begitu juga semangat yang ditunjukkan oleh pasukan keselamatan seperti polis dan tentera yang turut berjuang menentang pendudukan Jepun dan komunis. Pengorbanan mereka bukanlah kecil tetapi demi negara,nyawa mereka dipertaruhkan hingga ke titisan darah terakhir. SEMUANYA DEMI NEGARA TERCINTA.

Setelah dilabelkan sebagai bangsa yang lemah, malas dan tidak bertamadun,rakyat Negara ini mula menunjukkan kesungguhan yang tidak berbelah bagi apabila peluang untuk kemerdekaan mula terbuka selepas Perang Dunia Kedua tamat.

Pengorbanan pejuang-pejuang kebebasan dan mempertahankan kedaulatan negara haruslah kita kenang dan sesungguhnya.....

"Tiada Kemerdekaan Tanpa Pengorbanan"

1HARAPAN, 1MALAYSIA

Konsep 1Malaysia membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalinkan perpaduan yang lebih erat sebagaimana yang digariskan dalam prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum.


Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia dimana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita dimana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.


Nilai-nilai murni ini diharapkan dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep 1Malaysia tidak akan wujud perasaan tidak puas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysiadan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Khamis, 12 Mac 2009

PERTAHANKAN DEMOKRASI BERPARLIMEN

Demokrasi merupakan suara rakyat. Perjalanan demokrasi berparlimen yang berlangsung selama ini semestinya dipertahankan oleh setiap rakyat Malaysia. Sebarang tindakan untuk mendapatkan kuasa dengan cara yang tidak demokratik seperti menimbulkan kekacauan, keganasan, gerakan militan, penyebaran dakyah palsu, ideologi benci membenci, penggunaan emosi dan sentimen yang mengelirukan serta penyebaran fitnah harus ditolak.
Rakyat harus mempertahankan demokrasi kerana ia adalah lambang kedaulatan rakyat.

DEMOKRASI BERPARLIMEN :

Malaysia mengamalkan pemerintahan demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan seperti mana yang dinyatakan dalam perkara 44 Perlembagaan Persekutuan. Dalam Sistem ini, kuasa perundangan terletak kepada parlimen yang mengandungi Yang Di-Pertuan Agong dan dua majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Parlimen mempunyai kedudukan tertinggi dan merupakan badan yang mewakili rakyat untuk membuat undang-undang Negara. Tugasnya ialah untuk menggubal undang-undang dan dasar melalui kuasa yang diberikan kepadanya oleh rakyat.

Selasa, 16 Disember 2008

Jangan Terlalu Mencari KESEMPURNAAN

Jika kamu memancing ikan....
Setelah ikan itu terlekat di mata kail,
hendaklah kamu mengambil ikan itu....
Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia
semula ke dalam air begitu saja....
Kerana ia akan SAKIT oleh kerana bisanya
ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan MENDERITA
selagi ia masih hidup.

Begitulah juga ........

Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada
seseorang...
Setelah ia mulai MENYAYANGIMU hendaklah kamu
MENJAGA hatinya....
Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu
saja....
Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu
dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia
mengingatmu....

Jika kamu menadah air biarlah berpada,
jangan terlalu mengharap pada takungannya dan
janganlah menganggap ia
begitu teguh.... cukuplah sekadar keperluanmu...
Apabila sekali ia retak.... tentu sukar untuk kamu
menambahnya semula.... Akhirnya ia dibuang....

Sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya mungkin ia
masih dapat dipergunakan lagi....
Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, TERIMALAH
seadanya....
Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah
kamu menganggapnya begitu istimewa....
Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia
melakukan KESILAPAN bukan mudah bagi kamu untuk
menerimanya....
akhirnya kamu KECEWA dan meninggalkannya.

Sedangkan jika kamu MEMAAFKANNYA boleh jadi
hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhirnya....

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi...
yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan,
Berkhasiat.
Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang
lain..
Terlalu ingin mengejar kelazatan.
Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh
memakannya. Kamu akan menyesal.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang
insan.....yang pasti membawa KEBAIKAN kepada
dirimu.MENYAYANGIMU... MENGASIHIMU...
Mengapa kamu berlengah, cuba MEMBANDINGKANNYA
dengan yang lain.
Terlalu mengejar kesempurnaan.
Kelak, kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi
milik orang lain..Kamu juga yang akan MENYESAL....

Isnin, 15 Disember 2008

Makna dan Peranan "PERLEMBAGAAN"

Perlembagaan sebagai tulang belakang sebuah negara selalunya muncul serentak dengan pembentukan sesebuah negara itu. Ini mungkin berlaku akibat revolusi, kemerdekaan atau sesuatu perubahan yang amat mendadak menyebabkan sebilangan besar rakyat atau golongan yang berpengaruh mahukan satu titik tolak yang baru.
Perlembagaan diperkenalkan kerana adanya penjenisan kepada yang bertulis dan tidak bertulis. Perlembagaan bertulis dikatakan sebagai prinsip-prinsip perlembagaan yang terkumpul atau dikanunkan dalam satu dokumen. Perlembagaan tidak bertulis dikatakan sebagai sejenis perlembagaan yang tidak dikanunkan dalam satu dokumen. Kebanyakan negara-negara didunia mempunyai perlembagaan dalam bentuk bertulis.Penjelasan ini diperkenalkan oleh Lord Bryce seorang sarjana inggeris.
Perlembagaan yang fleksibel merujuk perlembagaan yang boleh diubah dengan mudah tanpa mematuhi peraturan atau syarat-syarat tertentu. Perlembagaan yang rigid sebaliknya merujuk perlembagaan yang hanya boleh diubah setelah peraturan atau syarat tertentu dipatuhi. Ini termasuklah keperluan mendapat dua pertiga majoriti dalam dewan perundangan, pungutan suara atau persetujuan sesebuah badan tertentu.
Perlembagaan mempunyai fungsi utama iaitu memperincikan kuasa. Perlembagaan menjadi dokumen yang memperincikan hak dan tanggongjawab sesuatu golongan, sebab itulah ia menjadi dokumen yang ciri undang-undangnya lebih menonjol. Ini tidak sahaja releven dalam soal individu malah releven dalam hubungan antara wilayah. Dalam negara persekutuan, perlembagaan amat penting dimana setiap wilayah mempunyai hak dan batasan, begitu juga dengan kerajaan yang berada di peringkat pusat.

Renungan

DAN janganlah enkau
berjalan di bumi ini dengan
berlagak sombong kerana
sesungguhnya engkau
tidak akan dapat
menembusi bumi, dan
engkau tidak akan dapat
menyamai setinggi
gunung ganang.

- Surah Al- Israa'
ayat 37

Isnin, 1 Disember 2008

Berdaulat BANGSA, PERKASA Bahasa

Dalam dunia global tanpa sempadan hari ini , keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi sering di pertikaikan. Kenapa wujudnya polemic sedemikian? Adakah bahasa Melayu yang dikenali sebagai bahasa lingua frca itu hanya sesuai dijadikan bahasa berkomunikasi semata-mata? Bagaimana pula dengan perananya sebagai ‘bahasa kerja’ dalam dunia pekerjaan yang berpaksikan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi. Dan bagaimana pula peranannya sebagai bahasa perpaduan?

Bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa Kebangsaan kepada Negara baru yang berdaulat setelah Negara kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Bahasa Melayu telah memikul tanggungjawab baru sebagai bahasa rasmi Negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan umum dan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan institusi-insitusi pengajian tinggi ( bahasa ilmiah ).
Dianggarkan bahawa bilangan penutur bahasa melayu di seluruh dunia mencecah 300 juta orang. Walaupun zaman kegemilangan bahasa Melayu berakhir dengan penjajahan bangsa barat, namun zaman kegemilangan tersebut telah meninggalkan satu khazanah yang tidak ternilai.
Sebelum Inggeris menapak di bumi Melayu, bangsa Melayu merupakan satu-satunya bahasa yang digunakan dalam pentadbiran, pendidikan, perdagangan dan komunikasi harian. Apabila Inggeris mula bertapak, perkembangan bahasa Melayu mula menyusut apabila pemerintah Inggeris hanya mengehadkan bahasa Melayu hanya digunakan sebagai bahasa perantaraan dalam hubungan komunikasi semata-mata.
Walau bagaimanapun, nasib bahasa Melayu agak terbela apabila wujudnya gelombang politik yang kuat dalam usaha membebaskan Negara daripada terus dijajah. Bahasa Melayu turut dimainkan peranannya apabila bahan-bahan terbitan yang dikeluarkan oleh persatuan-persatuan perjuangan, menggunakan perantaraan bahasa Melayu dalam tulisan mereka untuk menyedarkan masyarakat daripada terus terlena di bawah penjajahan barat.
Setelah negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kedudukan bahasa Melayu semakin baik. Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi negara dalam Perlembagaan dan bahasa ini dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Pelbagai kempen telah dilaksanakan agar bahasa dijadikan elemen perpaduan yang mampu mewujudkan rasa hormat-menghormati dan bersatu hati sesama rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan keturunan.

Isnin, 17 November 2008

Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor

Wilayah Pembangunan Iskandar ( WPI ) merupakan sebuah projek utama Kerajaan Pusat untuk menjadikan negeri Johor, negeri yang terletak diselatan tanah air sebagai sebuah wilayah metropolis dan kawasan pertumbuhan ekonomi bagi negara dalam tempoh 10 tahun lagi. WPI telah dilancarkan pada 4hb November 2006 oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi di Teluk Danga, Johor.
Projek ini juga dijangka bakal menyaksikan pembangunan yang pesat yang meletakkan kemajuannya setara dengan negara lain. WPI juga sebagai satu tempat yang terbaik di dunia untuk orang bekerja, hidup dan menjalankan aktiviti perniagaan serta menyediakan kemudahan terbaik untuk para pelancong, golongan pelabur dan generasi celik ICT. WPI juga turut dijangka bakal menyediakan satu juta peluang pekerjaan.
WPI adalah bukti komitmen Kerajaan untuk menjayakan pembangunan wilayah yang akan menjadi sebuah pusat pertumbuhan terbesar di rantau ini dan dijangka mampu menarik pelabur-pelabur dari dalam negara mahupun pelabur dari luar negara.
WPI mempunyai matlamat untuk mewujudkan kawasan pembangunan ekonomi bertaraf antara bangsa dan selatan Johor dipilih kerana kedudukan geografinya yang strategik dalam kaca mata global.
Setakat ini pembangunan yang dilaksanakan di sekitar kawasan WPI termasuk kediaman, komersial, industri, institusi komuniti dan kemudahan infrastruktur yang membabitkan tanah seluas 21,873.71 hektar. Diantara projek pembangunan sedia ada ialah projek pembangunan jana kuasa Tanjung Bin di Serkat, pusat perindustrian Pasir Gudang, Taman Teknologi dan Nusajaya di Kulai sehingga Teluk Danga dan Kompleks Kastam Kuarantin dan Imresen ( CIQ ) di Johor Bahru.
WPI sebuah kawasan yang mempunyai prospek cukup besar untuk membangun sebagai kota metropolis terkemuka di dunia. Nusajaya sendiri bakal menjadi pusat pentadbiran baru kerajaan negeri seperti Putrajaya, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
WPI adalah Permata Asia yang akan merubah wajah selatan Johor kepada sebuah metropolis yang mampan dan berdaya saing yang mana mampu menjadi tarikan utama pelabur asing menjelang 2025.

Renungan Bersama

Iblis dan Syaitan musuh sejati
Menyesatkan anak cucu Adam menjadi janji
Mereka dibantu nafsu sendiri
Mengengkari ALLAH dan ajaran NABI
AWAS, AWAS akan mendapat seksa yang ngeri
Tidak seorang pun dapat lari
Iblis dan syaitan ketawa kepuasan hati.

Draf Rancangan Kawasan Khas, Pusat Pengangkutan Bandar Senai


Rancangan Kawasan Khas ( RKK ) adalah suatu rancangan yang di sediakan dalam masa yang singkat untuk tujuan pelaksanaan. Hasil utama RKK ialah satu pelan Tindakan Pembangunan yang disediakan sama ada dalam bentuk susunatur atau Pelan Pengurusan yang di sokong oleh spesifikasi.

Keperluan penyediaan RKK dinyatakan dalam subseksyen 16B (1),(2) dan (3) Akta Rancangan Bandar dan Desa, 1976 ( Akta 172 ). RKK adalah rancangan terperinci yang bercorak tempatan dan disediakan bagi kawasan yang mempunyai kepentingan khusus kepada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan ( PBPT ). Dengan itu, PBPT boleh menyediakan RKK bagi mana-mana kawasan yang difikirkan sesuai.

Penyediaan RKK adalah untuk membolehkan PBPT menyegerakan sesuatu tindakan perancangan keatas sesuatu kawasan sama ada untuk diwujudkan, memajukan semula, memperelokkan lagi, memulihara atau bagi tujuan pengurusan kawasan berkenaan.

Draf Rancangan Kawasan Khas yang disediakan ini adalah untuk merancang persekitaran yang lebih baik bagi manfaat penduduk setempat secara lebih menyeluruh.

Pembangunan Senai sebagai Hub Pengangkutan yang bertaraf antarabangsa di gerbang selatan tanah air merupakan satu lagi usaha untuk memantap dan memastikan arah tuju serta wawasan pembangunan Daerah Kulaijaya agar dapat dirangka dengan lebih tersusun, sistematik, komprehensif dan mencerminkan pembangunan bagi keseluruhan negeri Johor.

Keupayaan Senai dijangka mampu nebyediakan kemudahan pasarana serta lokasi yang strategik dalam menjana pembangunan dalam paksi pertumbuhan yang merangkumi Daerah Sentral, Nusajaya, Skudai, Kulai-Senai, Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang.

Bagi memastikan usaha-usaha ini tercapai perancangan serta strategik pembangunan yang digariskan tidak habya dikhususkan kepada aspek fizikal, ekonomi dan penyediaan kemudahan yang menekankan keperluan dan kepentingan rakyat.