Isnin, 17 November 2008

Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor

Wilayah Pembangunan Iskandar ( WPI ) merupakan sebuah projek utama Kerajaan Pusat untuk menjadikan negeri Johor, negeri yang terletak diselatan tanah air sebagai sebuah wilayah metropolis dan kawasan pertumbuhan ekonomi bagi negara dalam tempoh 10 tahun lagi. WPI telah dilancarkan pada 4hb November 2006 oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi di Teluk Danga, Johor.
Projek ini juga dijangka bakal menyaksikan pembangunan yang pesat yang meletakkan kemajuannya setara dengan negara lain. WPI juga sebagai satu tempat yang terbaik di dunia untuk orang bekerja, hidup dan menjalankan aktiviti perniagaan serta menyediakan kemudahan terbaik untuk para pelancong, golongan pelabur dan generasi celik ICT. WPI juga turut dijangka bakal menyediakan satu juta peluang pekerjaan.
WPI adalah bukti komitmen Kerajaan untuk menjayakan pembangunan wilayah yang akan menjadi sebuah pusat pertumbuhan terbesar di rantau ini dan dijangka mampu menarik pelabur-pelabur dari dalam negara mahupun pelabur dari luar negara.
WPI mempunyai matlamat untuk mewujudkan kawasan pembangunan ekonomi bertaraf antara bangsa dan selatan Johor dipilih kerana kedudukan geografinya yang strategik dalam kaca mata global.
Setakat ini pembangunan yang dilaksanakan di sekitar kawasan WPI termasuk kediaman, komersial, industri, institusi komuniti dan kemudahan infrastruktur yang membabitkan tanah seluas 21,873.71 hektar. Diantara projek pembangunan sedia ada ialah projek pembangunan jana kuasa Tanjung Bin di Serkat, pusat perindustrian Pasir Gudang, Taman Teknologi dan Nusajaya di Kulai sehingga Teluk Danga dan Kompleks Kastam Kuarantin dan Imresen ( CIQ ) di Johor Bahru.
WPI sebuah kawasan yang mempunyai prospek cukup besar untuk membangun sebagai kota metropolis terkemuka di dunia. Nusajaya sendiri bakal menjadi pusat pentadbiran baru kerajaan negeri seperti Putrajaya, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
WPI adalah Permata Asia yang akan merubah wajah selatan Johor kepada sebuah metropolis yang mampan dan berdaya saing yang mana mampu menjadi tarikan utama pelabur asing menjelang 2025.

Renungan Bersama

Iblis dan Syaitan musuh sejati
Menyesatkan anak cucu Adam menjadi janji
Mereka dibantu nafsu sendiri
Mengengkari ALLAH dan ajaran NABI
AWAS, AWAS akan mendapat seksa yang ngeri
Tidak seorang pun dapat lari
Iblis dan syaitan ketawa kepuasan hati.

Draf Rancangan Kawasan Khas, Pusat Pengangkutan Bandar Senai


Rancangan Kawasan Khas ( RKK ) adalah suatu rancangan yang di sediakan dalam masa yang singkat untuk tujuan pelaksanaan. Hasil utama RKK ialah satu pelan Tindakan Pembangunan yang disediakan sama ada dalam bentuk susunatur atau Pelan Pengurusan yang di sokong oleh spesifikasi.

Keperluan penyediaan RKK dinyatakan dalam subseksyen 16B (1),(2) dan (3) Akta Rancangan Bandar dan Desa, 1976 ( Akta 172 ). RKK adalah rancangan terperinci yang bercorak tempatan dan disediakan bagi kawasan yang mempunyai kepentingan khusus kepada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan ( PBPT ). Dengan itu, PBPT boleh menyediakan RKK bagi mana-mana kawasan yang difikirkan sesuai.

Penyediaan RKK adalah untuk membolehkan PBPT menyegerakan sesuatu tindakan perancangan keatas sesuatu kawasan sama ada untuk diwujudkan, memajukan semula, memperelokkan lagi, memulihara atau bagi tujuan pengurusan kawasan berkenaan.

Draf Rancangan Kawasan Khas yang disediakan ini adalah untuk merancang persekitaran yang lebih baik bagi manfaat penduduk setempat secara lebih menyeluruh.

Pembangunan Senai sebagai Hub Pengangkutan yang bertaraf antarabangsa di gerbang selatan tanah air merupakan satu lagi usaha untuk memantap dan memastikan arah tuju serta wawasan pembangunan Daerah Kulaijaya agar dapat dirangka dengan lebih tersusun, sistematik, komprehensif dan mencerminkan pembangunan bagi keseluruhan negeri Johor.

Keupayaan Senai dijangka mampu nebyediakan kemudahan pasarana serta lokasi yang strategik dalam menjana pembangunan dalam paksi pertumbuhan yang merangkumi Daerah Sentral, Nusajaya, Skudai, Kulai-Senai, Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang.

Bagi memastikan usaha-usaha ini tercapai perancangan serta strategik pembangunan yang digariskan tidak habya dikhususkan kepada aspek fizikal, ekonomi dan penyediaan kemudahan yang menekankan keperluan dan kepentingan rakyat.

Jumaat, 14 November 2008

" Dunia Yang Kekal "

Bilal berazan seluruh bumi
ALLAHU AKHBAR disebut 6 kali
Tahukah kita makna dan erti
Mengapa masjid dan surau dibiar menjadi sepi
Sibuk mengejar harta di bumi bekalan akhirat sudah dilupai
Dunia sementara akhirat kekal abadi
Ingat , ingat Raja, Menteri, Orang Kaya dan Miskin
Semua akan bertemu MATI
Kepada ALLAH YANG MAHA ESA kita semua akan kembali
Harta, Jawatan, Keluarga dan Sahabat ditinggal pasti
Hanya dibawa KAIN KAPAN, IMAN dan AMALAN
yang sejati.

"Nadi Perpaduan"

Malaysia merupakan sebuah negara unik dimana penduduknya adalah daripada pelbagai kaum dalam Malaysia. Perpaduan ini bukanlah satu perkara yang datang sendiri tetapi merupakan suatu formula bijak yang telah diasaskan para pejuang kemerdekaan dahulu seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Tan Siew Sin, Tun Sambanthan dan lain-lain.
Mereka ini telah melakarkan satu titik pertemuan semua kaum melalui formula kongsi kuasa 'give and take' dan tolenrasi kaum yang telah terbukti berkesan hingga ke hari ini.
Sesebuah negara tidak akan aman dan stabil tanpa perpaduan dimana rakyat akan berada dalam keadaan resah dan keselamatan rakyat tidak terjamin.
Pelbagai perkara buruk lain lagi akan berlaku sekiranya tiada perpaduan dalam negara seperti ekonomi yang tidak berkembang, pembangunan akan terhenti dan yang paling mustahak dimana penjajahan semula tidak mustahil berlaku sekiranya rakyat hidup dalam keadaan kacau bilau.
Perpaduan Nasional merupakan perkara yang sangat mustahak di negara kita, maka semua pihak harus menjaga sensitiviti masing-masing dengan penuh hemah. Semua rakyat Malaysia hendaklah bersatu padu dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam hidup bermasyarakat. Segala prasangka jahat dan persepsi negatif yang menjurus kearah perkauman sempit haruslah diisi dengan kejernihan peribadi bangsa Malaysia yang unik dan bermoral tinggi.

Khamis, 13 November 2008

Tip Mudah Atasi STRES

Anda stres kerana terlalu banyak tekanan kerja? Mungkin tidak membebankan anda untk amalkan tip mudah ini bagi menghilangkan rasa STRES anda.....................

KETAWA :
Tiada cara yang paling mudah dan berkesan selain daripada ketawa. Ketawa merupakan terapi paling berkesan bagi mengurangkan kesan stres pada diri anda. Malah, ketawa juga membuat hati anda lebih tenang dan lega. Bukan itu sahaja, melihat anda ketawa juga menyenangkan hati orang di sekeliling anda. Oleh itu jangan malu untuk ketawa atau sekurang-kurangnya senyum.

URUTAN SENDI :
Kadangkala, bebanan kerja yang banyak membuatkan otot-otot badan tegang. Menghadap komputer seharian juga mungkin boleh mengakibatkan anda pening. Lakukan sendiri urutan pada sendi-sendi anda bermula pada titik-titik akupunktur, sekitar hidung dan ditepi mata bagi menghilangkan rasa tidak selesa dan letih. Rehat seketika dan urut secara lembut sehingga rasa pening dan tidak selesa hilang.

BERJALAN :
Tubuh badan yang stres membuatkan anda rasa keletihan dan tidak bermaya, cuma berjalan sekurang-kurangnya selam 10 minit jika bermaya. Dengan berjalan anda dapat mengurangkan tekanan pada seluruh bahagian tubuh badan ketika bekerja.

HUBUNGAN INTIM TERATUR :
Bagi yang sudah berumah tangga, hubungan intim teratur juga amat membantu mengatasi ketegangan dan stres. Hubungan intim yang teratur bersama pasangan dapat meleraikan segala ketegangan dan mengambilkan mood anda keesokan harinya.

CIUMAN :
Ciuman yang hangat membuat tubuh lebih relak, tenang, penuh dengan cinta dan kelembutan. Ia menimbulkan gelombang positif pada otak dan perubahan kimia yang lain pada tubuh badan. Manfaatnya lebih kurang sama seperti anda bermeditasi khususnya bagi mereka yang telah berumahtangga.

DOA :
Ketika anda stres, kelenjar adrenalin tubuh anda mengeluarkan bahan kimia yang berfungsi meningkatkan degupan jantung dan tekanan darah serta menurunkan kekebalan tubuh. Doa merupakan satu cara lebih berkesan untuk menghilangkan stres dan sekali gus mendekatkan diri kepada Tuhan.

" Renungan Bersama "

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
" Tidak lurus (istiqamah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya "

( Riwayat Ahmad )
------------------------------------------------------------------------------------

"Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadah kepadaNya.

( Surah Al-Baqarah, ayat 172 )
-----------------------------------------------------------------------------------

Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-hambaNya ( yang bertaubat ) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.

( Surah Asy-Syura, ayat 25 )

------------------------------------------------------------------------------------

Sesungguhnya Allah mengetahui akan perkataan yang kamu sebutkan dengan terus terang, dan juga ia mengetahui apa yang kamu sembunyikannya (di dalam hati )

( Surah Al-Anbiyaa', ayat 110 )

-------------------------------------------------------------------------------------

"Jasa Mu Dikenang"

Usia kemerdekaan negara kini menjangkau Lima Puluh Satu tahun. Apabila melihat kecemerlangan yang dicapai oleh negara ini, semestinya kita akur terlalu banyak perubahan yang telah berlaku. Sesungguhnya kemerdekaan yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan leluhur kita yang telah berkorban seluruh jiwa raga meletakkan rakyat dan negara ini setaraf dengan bangsa-bangsa lain didunia.
Bukan mudah meraih kemerdekaan apalagi mengekalkannya. Banyak negara didunia mencapai kemerdekaan tetapi tidak dapat mengecap nikmat kemerdekaan seperti pembangunan, keharmonian dan kebebasan. Akhirnya kemerdekaan itu tidak memberi apa-apa makna kerana hidup dan cara berfikiran masih seperti penjajah.
Dengan memupuk rasa cinta dan sayangkan tanahair, kita dapat mengekalkan kemerdekaan negara kita. Hanya dengan melihat sejarah barulah kita mengerti betapa payahnya ranjau dan duri yang terpaksa dilalui orang-orang yang terdahulu demi mengecapi makna kemerdekaan.
Memelihara kemerdekaan bermakna kita menghargai perjuangan mereka demi kelangsungan warisan tanah pusaka yang bertuah ini. Benarlah kata cerdik pandai " Bangsa yang tidak belajar sejarah akan didera dengan kesalahan yang berulang-ulang "

"Tiada Kemerdekaan Tanpa Pengorbanan "

Persekutuan Tanah Melayu ( disebut Malaya sebelum itu ) mencapai kemerdekaan secara mutlak pada hari sabtu 31hb Ogos 1957. Walaupun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu tidak dicapai menerusi pertumpahan darah sebagaimana negara-negara Asia lainnya. Pengorbanan yang diberikan oleh rakyat pada masa itu dan sebelumnya adalah amat besar.
Pendudukan Inggeris pada 1786 apabila Francis Ligh mula mengibarkan bendera penjajah secara rasmi di bumi Tanah Melayu. Penentangan menuntut kebebasan telahpun bermula walaupun kecil dan sering dilabelkan oleh pihak Inggeris sebagai pengkhianat, lanun atau pemberontak namun semangat mereka telah menjadi contoh kepada pejuang selepas itu.
Begitu juga semangat yang ditunjukkan oleh pasukan keselamatan seperti polis dan tentera yang turut berjuang menentang pendudukan Jepun dan Komunis. Pengorbanan mereka bukanlah kecil tetapi demi negara, nyawa mereka dipertaruhkan. Semuanya kerana Negara Tercinta. Setelah dilabelkan sebagai bangsa yang lemah, malas dan tidak bertamadun, rakyat negara ini mula menunjukkan kesungguhan yang tidak berbelah bagi apabila peluang untuk kemerdekaan mula terbuka selepas perang dunia kedua tamat.
Pihak Inggeris yang menerima tamparan hebat oleh pihak Jepun yang mengalahkannya. Kesan psikologi dari pendudukan Jepun dan slogan "Asia untuk orang Asia" serta munculnya rakyat berjiwa nasionalis, desakan mula diberikan terhadap pihak Ingeris.
Akibat desakan tersebut pihak Inggeris terpaksa mengaku bahawa penjajahan mereka sudah sampai masanya untuk berakhir pada tanggal 31hb Ogos 1957. Penjajahan selama 219 tahun telah mengaut kekayaan khazanah negara pastinya tidak lagi dikehendaki oleh rakyat negara ini.
Pengorbanan pejuang-pejuang kebebasan dan mempertahankan kedaulatan negar haruslah kita kenang dengan ucapan terima kasih dan diiringi dengan doa, sesungguhnya tiada kemerdekaan tanpa pengorbanan.

Tujuan Rukun Negara

Rukunegara telah diisytiharkan pada 31hb Ogos 1970 sebagai pedoman kepada rakyat yang berbilang kaum bagi membentuk perpaduan dan menjamin kesejateraan masyarakat negara ini.
Rukunegara juga menjadi panduan bagi rakyat Malaysia bertindak dengan memberi penekanan kepada matlamat untuk mewujudkan satu masyarakat yang bersatu, demokratik, adil, liberal dan saintifik.
Sejak kemerdekaan lagi, seluruh rakyat Malaysia telah menerima Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak istimewa semua kumpulan etnik dan Rukunegara sebagai panduan kita dalam pembinaan bangsa.
Rukunegara yang bertujuan membina bangsa Perpaduan negara merupakan tonggak utama Malaysia yang progresif dan makmur serta hidup dalam harmoni dengan melibatkan semua pihak dalam harmoni dengan melibatkan semua pihak secara sepakat dan saksama. Perpaduan negara terus menjadi matlamat pembangunan sosio ekonomi memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang kumpulan etnik, agama, bangsa dan budaya.
Walaupun nilai dan amalan sosial dan budaya menjadi semakin sejagat, rakyat Malaysia mesti memelihara identiti dan warisan negara. Hanya dengan pemeliharaan identiti ini, rakyat Malaysia akan berupaya menghadapi perubahan pantas dan dapat bertahan daripada kesan negatif globalisasi. Semangat patriotik sepatutnya disemai di kalangan rakyat supaya mereka merasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Oleh itu, agenda utama yang perlu dipupuk untuk dihayati oleh setiap rakyatialah sifat-sifat yang baik dan berakhlak mulia. Sikap amanah, bertanggungjawab, ikhlas, berdedikasi, tekun, bekerjasama, berbudi mulia dan bersyukur serta menghargai segala pemberian dan kemudahan yang diterima merupakan tonggak utama kepada sikap mulia.
Prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukunegara jelas merupakan kunci kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk memelihara dan menggalakkan keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia.

Rabu, 12 November 2008

5 Prinsip Rukun Negara




Kepercayaan Kepada Tuhan
Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-Undang
Kesopanan Dan Kesusilaan