Khamis, 19 April 2012

WARKAH KEPADA GENERASI

Anak kecil main api
terbakar hatinya yang sepi
air mata darah bercampur keringat
bumi dipijak milik orang...........

Generasiku tercinta
kalian adalah kelompok bertuah
yang sempat berteduh di langit alaf baru
dengan keberanian sebagai bangsa bermaruah
ditanah merdeka milik abadi kita.

Generasiku yang bijak bestari
ini bumi suci perjuangan nenek moyang
yang bersumpah setia memartabatkan bangsa
mendaulatkan tanah air, mencipta kebebasan
membina istana merdeka yang kalian diami.

Ingin ku ingatkan, jangan biarkan akar sejarah
tercabut dari bumi bertuah ini.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

SEJARAH BAJU KURUNG TELUK BELANGA

Baju Melayu Teluk Belanga atau Baju Kurung Johor mula diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar tatkala Almarhum bersemanyam di Teluk Belanga Singapura. Almarhum menetapkan supaya baju lelaki labuhnya sehingga kebawah punggung dengan leher yang berlapik lebar dan berkocek dua manakala baju perempuan pula labuhnya hingga bawah lutut dengan alas lehernya halus dan tidak berkocek.


Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim pakaian tersebut telah diubah mengikut cadangan Allahyarham Dato'Jaafar bin Haji Muhamad, Menteri Besar,kocek pada baju lelaki ditambah menjadi tiga dan alas lehernya halus seperti baju perempuan dan diadakan satu kocek pada baju perempuan.


Seluar yang dipakai disebut 'seluar kabul' yang bertongkah atau bertakak seperti seluar Cina dan kakinya lebih luas dari seluar yang dipakai dengan pakaian barat. Pada masa itu terdapat beberapa jenis seluar yang dipakai oleh orang lelaki iaitu seluar kabul, seluar cina, seluar sampak ( paras peha ), seluar katok ( paras lutut ), seluar Acheh ( paras betis ) dan seluar panjang iaitu seluar pakaian orang barat. Bagi menseragamkan pakaian, seluar Cina telah ditetapkan yang mana ianya bertongkah atau bertakak iaitu terdapat sambungan kain dibahagian atas seluar bagi membolehkannya diikat tanpa menggunakan tali pinggang.


Pakaian tersebut dilengkapkan dengan kain yang dipakai secara dagang dalam samada dari kain pelikat, kain Bugis, kain mastuli atau kain sutera. Kepala kain diletak dibelakang dan kain dipakai selabuh paras lutut atau kebawah lutut. Kain dagang luar hanya dipakai oleh anak-anak Raja dan Tuan Sayed.


Almarhum Sultan Abu Bakar juga menetapkan supaya songkok dipakai bersama Pakaian Melayu. Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim, Dato' Jaafar bin Haji Muhamad menetapkan supaya songkok dijadikan pakaian Melayu Johor.


Sepatu seperti yang dipakai dengan pakaian barat atau selipar yang bertekat dengan manik atau kelingan atau benang sutera dipakai bersama pakaian Melayu.


UNGKAPAN BESTARI

Bangsa yang memperkosa hak bangsa lain atau orang yang memperbudakkan sesama manusia telah melakukan kesalahan. Tetapi kesalahan tidak boleh ditimpakan kepada si gagah sahaja. Yang dijajah dan diperkosa atau diperbudak turut bersalah. Mengapa mahu dijajah???Orang lain tidak dapat menolong kalau yang dijajah telah menggalangkan batang leher sendiri untuk disembelih. ( Rujukan Hamka )


Adil ialah yang menimbang yang sama berat, menyalahkan yang salah dan membenarkan yang benar, mengembalikan hak yang empunya dan jangan berlaku zalim di atasnya. ( Rujukan Hamka )

Selagi kita bernyawa, kita mestilah bekerja menabur bakti untuk bangsa dan negara. Itulah hiasa yang sebenar. ( Rujukan Ibu Zain )

Rabu, 18 April 2012

SISTEM RAJA BERPERLEMBAGAAN

Institusi Raja Berperlembagaan merupakan institusi tertinggi dalam Perlembagaan Malaysia. Pemerintahan Raja Berperlembagaan yang disuburi dengan amalan Demokrasi Berpalimen di negara ini mempunyai keistimewaan tersendiri dan menjadi lambang kedaulatan, perpaduan, kebesaran dan kemuliaan negara.


Kedudukan Raja Berperlembagaan dalam sistem pemerintahan di negara ini amat penting dimana institusi Yang DiPertuan Agong menduduki tangga teratas hierarki kuasa pemerintahan Persekutuan Malaysia dan mempunyai kedudukan istimewa seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Raja Berperlembagaan adalah sistem beraja mengikut peraturan-peraturan yang digariskan dalam Perlembagaan Malaysia.


Sistem ini mula berfungsi dengan peristiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan diteruskan apabila gagasan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Sistem Raja Berperlembagaan ini telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dengan mewujudkan institusi Yang DiPertuan Agong, mengekalkan sitem Raja di negeri dan menubuhkan Majlis Raja-Raja.


Baginda juga lambang kekuasaan dalam pemerintahan negara, kebesaran dan kemuliaan negara dan payung pelindung kepada keseluruhan rakyat.


Sistem kerajaan Raja Berperlembagaan adalah satu kesinambungan kepada semangat berkerajaan dan bernegara yang telah sedia bertapak di negara ini dan sebahagian daripada budaya warisan serta lambang sebuah negara yang bebas merdeka.


Sistem Raja Berperlembagaan telah membentuk salah sebuah tonggak utama kestabilan serta keteguhan negara dan mengukuhkan perpaduan negara yang terdiri daripada berbilang kaum, bangsa, agama serta adat resam dan dapat mengekalkan keamanan serta kemakmuran negara.

MENGENANG SEJARAH KEMERDEKAAN

"Sesungguhnya Tiada Kemerdekaan Tanpa Pengorbanan"

Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan secara mutlak pada 31 Ogos 1957. Walaupun kemerdekaan Tanah Melayu tidak dicapai menerusi pertumpahan darah seperti mana negara-negara Asia yang lain namun jerit-perit dan pengorbanan yang diberikan oleh rakyat pada masa itu amatlah besar.

Begitu juga semangat yang ditunjukkan oleh pasukan keselamatan seperti polis dan tentera yang turut berjuang menentang pendudukan Jepun dan komunis. Pengorbanan mereka bukanlah kecil tetapi demi negara,nyawa mereka dipertaruhkan hingga ke titisan darah terakhir. SEMUANYA DEMI NEGARA TERCINTA.

Setelah dilabelkan sebagai bangsa yang lemah, malas dan tidak bertamadun,rakyat Negara ini mula menunjukkan kesungguhan yang tidak berbelah bagi apabila peluang untuk kemerdekaan mula terbuka selepas Perang Dunia Kedua tamat.

Pengorbanan pejuang-pejuang kebebasan dan mempertahankan kedaulatan negara haruslah kita kenang dan sesungguhnya.....

"Tiada Kemerdekaan Tanpa Pengorbanan"

1HARAPAN, 1MALAYSIA

Konsep 1Malaysia membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalinkan perpaduan yang lebih erat sebagaimana yang digariskan dalam prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum.


Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia dimana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita dimana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.


Nilai-nilai murni ini diharapkan dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep 1Malaysia tidak akan wujud perasaan tidak puas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysiadan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.