Khamis, 12 Mac 2009

PERTAHANKAN DEMOKRASI BERPARLIMEN

Demokrasi merupakan suara rakyat. Perjalanan demokrasi berparlimen yang berlangsung selama ini semestinya dipertahankan oleh setiap rakyat Malaysia. Sebarang tindakan untuk mendapatkan kuasa dengan cara yang tidak demokratik seperti menimbulkan kekacauan, keganasan, gerakan militan, penyebaran dakyah palsu, ideologi benci membenci, penggunaan emosi dan sentimen yang mengelirukan serta penyebaran fitnah harus ditolak.
Rakyat harus mempertahankan demokrasi kerana ia adalah lambang kedaulatan rakyat.

DEMOKRASI BERPARLIMEN :

Malaysia mengamalkan pemerintahan demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan seperti mana yang dinyatakan dalam perkara 44 Perlembagaan Persekutuan. Dalam Sistem ini, kuasa perundangan terletak kepada parlimen yang mengandungi Yang Di-Pertuan Agong dan dua majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Parlimen mempunyai kedudukan tertinggi dan merupakan badan yang mewakili rakyat untuk membuat undang-undang Negara. Tugasnya ialah untuk menggubal undang-undang dan dasar melalui kuasa yang diberikan kepadanya oleh rakyat.