Isnin, 17 November 2008

Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor

Wilayah Pembangunan Iskandar ( WPI ) merupakan sebuah projek utama Kerajaan Pusat untuk menjadikan negeri Johor, negeri yang terletak diselatan tanah air sebagai sebuah wilayah metropolis dan kawasan pertumbuhan ekonomi bagi negara dalam tempoh 10 tahun lagi. WPI telah dilancarkan pada 4hb November 2006 oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi di Teluk Danga, Johor.
Projek ini juga dijangka bakal menyaksikan pembangunan yang pesat yang meletakkan kemajuannya setara dengan negara lain. WPI juga sebagai satu tempat yang terbaik di dunia untuk orang bekerja, hidup dan menjalankan aktiviti perniagaan serta menyediakan kemudahan terbaik untuk para pelancong, golongan pelabur dan generasi celik ICT. WPI juga turut dijangka bakal menyediakan satu juta peluang pekerjaan.
WPI adalah bukti komitmen Kerajaan untuk menjayakan pembangunan wilayah yang akan menjadi sebuah pusat pertumbuhan terbesar di rantau ini dan dijangka mampu menarik pelabur-pelabur dari dalam negara mahupun pelabur dari luar negara.
WPI mempunyai matlamat untuk mewujudkan kawasan pembangunan ekonomi bertaraf antara bangsa dan selatan Johor dipilih kerana kedudukan geografinya yang strategik dalam kaca mata global.
Setakat ini pembangunan yang dilaksanakan di sekitar kawasan WPI termasuk kediaman, komersial, industri, institusi komuniti dan kemudahan infrastruktur yang membabitkan tanah seluas 21,873.71 hektar. Diantara projek pembangunan sedia ada ialah projek pembangunan jana kuasa Tanjung Bin di Serkat, pusat perindustrian Pasir Gudang, Taman Teknologi dan Nusajaya di Kulai sehingga Teluk Danga dan Kompleks Kastam Kuarantin dan Imresen ( CIQ ) di Johor Bahru.
WPI sebuah kawasan yang mempunyai prospek cukup besar untuk membangun sebagai kota metropolis terkemuka di dunia. Nusajaya sendiri bakal menjadi pusat pentadbiran baru kerajaan negeri seperti Putrajaya, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
WPI adalah Permata Asia yang akan merubah wajah selatan Johor kepada sebuah metropolis yang mampan dan berdaya saing yang mana mampu menjadi tarikan utama pelabur asing menjelang 2025.

Tiada ulasan: